Wednesday, September 22, 2010

Antara Nafsu Dan Simpati

Pada gua Kuala Terengganu yang mana tempat gua port sekarang ini masih belum layak digelar bandaraya apatah lagi kota metropolitan. Belum ada ciri bandaraya pun jika dinilai dari kacamata seorang rakyat marhaen macam gua atau rakan-rakan yang pernah juga gua bertukar pendapat mengenainya. Entah kenapa ketika pemerintahan mantan MBnya yang terdahulu, bandar ini telah dinobatkan sebagai bandaraya. Itu isu yang gua masih belum mengerti.

Namun demikian, satu-satunya realiti yang tidak dapat dinafikan adalah kaum wanita warga Kuala Terengganu ini rata-ratanya berwajah bulat, comel dan ayu yang kadangkala tergugat juga iman apabila dilihat pada waktu malam. Member gua masa kerja kat Jerantut pernah kata..perempuan ni ada yang cantik waktu malam. Ada yang cantik waktu siang dan ada juga yang berseri-seri bila baru bangun pagi. Kalau tak percaya lu cek sendiri betul ke tidak.

Balik dari tarawih di masjid putih tiga hari menjelang raya. Gua dan Lie bergegas ke tepi pagar berhampiran jalan besar selepas Lie parking kereta merahnya di garaj rumah flat blok orang. Ketika tiba di tepi pagar tersebut, kami cuma bersidai dengan menggayutkan tangan di chain link pvc coated yang menjadi pemisah antara kawasan rumah flat kami dan jalan utama itu. Orang ramai sudah berpusu-pusu. Macam semut menghurung gula-gula yang budak-budak luah sebab tak larat nak makan sampai habis.

Gua tertenjet-tenjet sambil memanjang-manjangkan leher seperti seekor zirafah di sebalik pagar zoo. Lie tak perlu tenjet. Dia memang sudah sedia tinggi menggalah sejak gua kenal 2-3 minggu ini. Samada dia sudah sedia tinggi sejak azali atau baru-baru ini sahaja tidak pula gua periksa. Bukan apa, ada kawan gua cakap, seorang budak junior tingkatan 4 masa kami sekolah kuantan dulu bukan main kecik tapi sekarang sudah tinggi dari kawan gua tersebut. Misteri bukan.?

Dalam kekalutan itu, gua nampak 2 sosok tubuh di atas jalan tersebut sedang dikerumun oleh orang ramai yang seolah-olah sedang menonton wayang percuma. Satu sosok sedang terlentang di atas riba sosok yang satu lagi. Suasana kecoh. Manakan tidak, 2 sosok itu adalah sosok awek seksi yang eksiden motor dengan kereta. Samada kedua-duanya cedera serius gua tak pasti, namun demikian tidak nampak pula darah bertaburan di sana sini.

Di bawah tiang lampu tidak jauh dari sosok awek seksi. Gua nampak seorang remaja lelaki yang turut terlibat dalam kemalangan dan agak berat kecederaannya sedang merintih kesakitan tetapi tidak dipedulikan oleh orang ramai.

“Abang..abang..dia dah mati ke..?” Tanya seorang kanak-kanak seusia 5 tahun di sebelah gua sambil menunjuk ke arah remaja lelaki tersebut..”dulu abang saya pun eksiden juga tapi tak mati..” sambungnya penuh prihatin sambil mata berkaca.

Dalam samar-samar lampu jalan gua gelak kecil sambil merenung ke dalam diri sendiri.